Warkah Seorang Ibu~

Wahai puteriku,
Ibu doakan moga kau sentiasa dalam pemeliharaan Allah.
Dengarlah sayangku,
Wanita ibarat bunga… cantik indahnya pada pandangan mata hanya sementara. Yang kekal menjadi pujaan manusia, hanyalah wanita yang mulia akhlaknya. Tiada guna berwajah cantik tetapi akhlak buruk. Tiada guna juga berwajah cantik tetapi hati kosong dari ilmu. Ibarat bunga yang cantik dipandang tetapi busuk baunya. Ada bunga yang tidak menarik pada pandangan mata kasar, tetapi apabila dihalusi dengan mata hati, ternyata amat tinggi nilainya.
Anakku, sebaik-baik hiasan dunia adalah wanita solehah…
Pergaulannya terjaga, pandangan ditundukkan, masanya banyak dihabiskan untuk menuntut ilmu, ibadahnya sentiasa diusahakan untuk dipertingkatkan. Sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah, sebagai remaja dia akan menjadi remaja yang berhemah, sebagai isteri dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya, sebagai ibu dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang. Islam tidak membezakan kedudukan atau darjat seseorang sama ada lelaki atau wanita melainkan berdasarkan ketakwaan mereka kepada Allah :
“Barangsiapa mengerjakan amalan yang soleh, baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun.” –An-Nisaa’ :124-
Wahai puteriku,
Daya tarikan wanita itu amat kuat terhadap lelaki. Wanita umpama berlian, menarik, cantik, berharga dan tidak terhitung nilainya. Dan sekiranya sebutir berlian itu dijaga dan ditutup dengan rapi, tentulah nilainya semakin tinggi. Apatah lagi jika tidak ramai yang dapat melihatnya, tentulah dia menjadi rebutan… bukan seperti berlian yang dipamer secara terbuka di jalanan, kerana akan disangka intan atau kaca walaupun hakikatnya adalah sebutir berlian yang berharga. Begitu juga dengan wanita…. semakin tertutup auratnya dan semakin terjaga dirinya, semakin bernilailah ia. Auratnya hanya untuk mahramnya. Kecantikan dan daya penarik dirinya disalurkan di jalan yang diredhai Allah, hanya untuk suaminya. Wanita yang kurang sempurna menutup auratnya dan tidak mengawal kebebasannya seolah-olah merendahkan nilai diri sendiri, umpama berlian di jalanan, tidak lagi istimewa dan tidak lagi menjadi rebutan kerana terlalu mudah didapati.
Ingatlah puteriku, niat menutup aurat juga perlulah diperbetulkan kerana Allah, bukan kerana saranan orang lain dan bukan juga untuk menarik perhatian. Jauhilah dirimu dari dipergunakan syaitan sebagai senjata untuk meruntuhkan iman saudara muslimin kita. Wanita adalah fitnah paling besar bagi mereka. Ketahuilah, apabila seseorang wanita keluar dari rumahnya ke khalayak ramai, maka syaitan akan ‘melapisi dirinya hingga kelihatan terlalu menarik di mata lelaki.’
Berhati-hatilah wahai puteriku………………
0 Responses